"Ya Allah ... aku ini yatim ... besarnya aku tanpa kenal wajah ayah dan ibu ... Besarnya aku hanya mengharapkan ihsan simpati orang lain ... namun begitu Ya Allah, kau ampunilah dosa kedua arwah ayah dan ibu ku walau mereka tidak membesarkan aku ...
Ya Allah ... amat besar kekuasaan MU dan amat kasih sifat penyayang MU ... walau ayah dan ibu telah kembali di sisi MU ... dengan ihsan dan Maha Pemurahnya MU ... KAU berikan aku tempat berteduh di sini untuk ku belajar matlamat hidup ini.
Ya Allah ... aku ingin dibelai oleh ayah dan ibu .... aku ingin bermanja dengan ayah dan ibu ... aku ingin ... mendengar hilai tawa ayah dan ibu ... aku ingin mengucup dahi dan tangan ayah dan ibu ... namun iradah MU mendahului kehendak ku ... begitulah kekuasaan MU ... dan aku yakin percaturan MU itulah yang terbaik buat insan kerdil yang lemah seperti ku.
Ya Allah .... walau KAU jemput ayah dan ibu sejak kecil ku ... aku redha ... kerana aku yakin mereka lebih KAU kasih .... agar mereka berada di sisi MU ... agar mereka KAU ampuni dan KAU kasihi
Ya Allah .... aku amat merindui ayah dan ibu ... bila aku KAU jemput untuk menemui MU nanti .... KAU pertemukanlah aku dengan mereka di syurga MU ... agar dapat ku balas jasa mereka kerana melahirkan ku
Ya Allah ... aku rindu pada ayah dan ibu ... kau ampunilah mereka ... kau kasihilah mereka ... kau muliakanlah mereka dan letakkanlah mereka bersama-sama barisan para kekasih MU ........ "
Begitulah antara munajat anak-anak yang tidak seberuntung kita. Hidupnya tanpa ayah dan ibu. Siapakah yang akan memberikan mereka rahmat dan kasih sayang ?
Saat kita yang beruntung ini leka diulit kemewahan duniawi.
Saat kita menghadap hidangan yang beraneka rasa dan kelazatan.
Saat kita riang gembira dengan hilai tawa anak-anak dan sanak saudara.
Saudara-saudari yang ikhlas bersahabat dengan diri ku yang hina lagi banyak dosa ini,
Kita sewajarnya bersyukur. Walau ada di antara kita dihimpit dengan pelbagai masalah dan bebanan hidup. Namun kita masih mampu untuk hidup senang walau pun tidak semewah jutawan. Sesukar-sukarnya kehidupan kita di dunia, kita masih mampu memandu kereta walaupun buatan Malaysia. Kita masih mampu lagi berbelanja walau hanya di hypermarket atau pasar malam. Kita masih lagi mampu bergurau senda dan berFacebook bersama teman-teman.
Namun di sebalik kesenangan dan nikmat yang kita kecapi ini, kadang-kadang kita terlepas pandang akan kehadiran insan-insan yang kurang bernasib baik dari kita.
Aku teringat suatu peristiwa pada 1 Ramadhan 1426. Jam menunjukkan 2.30pm. Aku menelefon Ustaz Warden.
Aku : Assalamu alaikum Ustaz, hari ini tak payah masak. Saya belanja budak-budak tu makan. Saya beli KFC.
Itulah antara ungkapan ayat yang masih aku ingat. Di fikiran ku sudah terbayang keceriaan dan kegembiran yang bakal terukir di wajah anak-anak malang yang menumpang berteduh di madrasah. Bagi mereka di madrasah itulah tempat mereka menumpang berteduh. Di madrasah itulah tempat mereka menimba ilmu dan menjamah sesuap makanan. Di madrasah itulah tempat mereka menumpang kasih setelah ayah dan ibu mereka kembali ke rahmat ALLAH.
Bagi diri ku dan sahabat-sahabat ku. Kami pula menumpang rahmat ALLAH dan maghfirah ALLAH dari mereka.
Jam 5.00pm, aku sudah bergegas ke kereta untuk balik ke Tampin dari Nilai Cancer Institute. Aku memeriksa dompet ku. Hanya ada RM 11.70. Nanti bila sampai ke Tampin baru aku mencari ATM .... ujar hati ku. Dan aku memecut kereta merah ku ke Tampin.
Jam 6.00pm aku sudah berada di pekan Tampin. Aku ke CIMB .... ATM tutup .... Lantas aku ke BSN .... ATM juga tutup. Aku menggeleng-geleng kepala ku. Aku ke Maybank pula .... ATM juga tutup. Hati ku semakin berdebar. Ku lihat jam sudah 6.25pm. Ku pecut kereta ku menuju BIMB ..... ATM juga tutup. Hati ku semakin berdebar sambil berdoa ke hadrat ALLAH. Janganlah sampai aku mengecewakan anak-anak ini. Aku tujui pula ke Bank Rakyat .... ATM nya juga tidak beroperasi. Aku semakin cemas. Yang tinggal hanyalah Public Bank. Segera aku menuju ke sana. ... Memang sudah ditaqdirkan ALLAH. ATM Public Bank juga tutup. ..... Aku termenung sendirian.... Memikirkan dengan RM 11.70, apakah yang akan aku beli untuk sajian berbuka 32 orang anak yatim di madrasah ?
Jam sudah menunjukkan 6.45pm. Aku terus kembali ke madrasah. Ketibaan ku disambut oleh anak-anak dengan riang gembira. Mungkin mereka sangka aku kembali bersama ayam KFC yang mereka tidak pernah rasa. Mereka hanya kenal melalui TV atau media cetak. Dapat aku rasai perubahan keceriaan mereka apabilaa melihat aku tiba di madrasah dengan tangan kosong. Suasana sepi. Aku hanya senyum. Hati ku benar-benar rasa bersalah. Aku mendapatkan Ustaz Warden dan menceritakan masalah ku. Ustaz Warden hanya mengangguk tanda memahami situasi ku. Mujur di dapur ada di masak sedikit makanan untuk morey.
Aku serahkan RM 11.70 kepada Ustaz Warden. Belilah roti canai. Hari pertama ini kita berbuka dengan roti canai. InsyaALLAH hari lain saya belikan KFC untuk mereka.....
Malam itu, aku tidak menjadi imam. Aku hanya menjadi makmum di madrasah. Hati aku remuk. Aku mohon ampunan ALLAH kerana mengecewakan hasrat anak-anak malang tersebut bagi menikmati hidangan yang mungkin mereka tidak pernah rasai sama sekali. Rasa bersalah ku berlanjutan hingga beberapa hari.
Entah macam mana, pada 8 Ramadhan, aku menerima satu panggilan telefon dari sebuah pasaraya di bandar Tampin. ..... Tahniah encik. Pembelian encik menggunakan kad kredit telah terpilih untuk memenangi pelanggan setia kami. Encik telah memenangi RM 10,000.00 .............. Yang hanya terucap dari lidah ku ialah "SUBHANALLAH"
Aku mengambil half day. Aku terus kembali ke Tampin dan terus ke pasaraya berkenaan. Selepas mengambil cek terus aku bank in ke dalam akaun.
Pada 10 Ramadhan, aku ke madrasah bersama kejutan buat anak-anak malang tersebut. Kerana aku datang bersama-sama 40 bungkusan dinner plate KFC.
Pada malam itu, dapat ku lihat wajah-wajah anak-anak tersebut riang gembira, ceria. Terubat seketika kedukaan di hati mereka kerana hilang insan yang tersayang. Tanpa ku sedar, air mata aku menitis. Cikgu Ibrahim menegur ku. Perlahan aku usap air mata yang mengalir.
Satu perkara yang aku sedar .... anak-anak ini membawa bersama mereka kertas akhbar-akhbar lama. Dari tiga ketul ayam goreng yang dihidangkan, mereka hanya makan dua ketul. Seketul mereka balut dengan kertas surat khabar. Bila ku tanya mengapa mereka membalut ayam goreng tersebut ? Jawab mereka, untuk mereka panaskan keesokan hari sewaktu sahur. Kata mereka ..... "Bukan senang nak makan KFC." ..... Sekali lagi air mata ku menitis. Mereka amat menghargai rezeki yang dihidangkan kepada mereka. Tidak membazir. Bersyukur dengan apa yang ada. Mampukah kita mempunyai rasa kehambaan seperti mereka ?
Pada malam itu, aku menunaikan solat taubat dan sujud syukur sebanyak-banyaknya. Kerana RM 11.70 yang aku belanjakan pada 1 Ramadhan, ALLAH balas sebanyak RM 10,000.00 pada 8 Ramadhan. Baki duit yang ada, aku gunakan untuk membelikan mereka pakaian dan kasut baru sempena Aidil Fitri yang bakal menjelang.
Inilah rahmat ALLAH di awal Ramadhan.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,
Mungkin …sewaktu kita berbelanja di pasar raya bersama teman-teman, mereka memandang kita dari jauh sambil hati mereka berbisik …”Beruntung sungguh si polan mampu berbelanja di pasar raya”.
Mungkin juga sewaktu kita atau anak-anak kita sedang tekun belajar di sekolah-sekolah modern atau IPTA yang punya perpustakaan ber-air-cond …. Mereka memandang kita dari kejauhan dan hati mereka berbisik …”Beruntung sungguh si polan itu mampu mendapat pendidikan yang sempurna berbanding diri ku ….”
Mungkin sewaktu kita menikmati kelazatan ayam goreng KFC sambil menjilat jari, nun jauh di sana mereka memandang kita sambil mereka berbisik ... "Beruntungnya si polan dapat menikmati makanan yang lazat dan enak, sedangkan aku hanya menikmati nasi berlaukkan ikan masin dan berulamkan kangkung ..."
Mungkin juga … sewaktu kita bergurau senda bersama anak-anak dan family di taman permainan … mereka melihat ita dari jauh … dan hati mereka berbisik …”Beruntung sungguh si polan, punya ayah, punya ibu tempat untuk bermanja dan dibelai … sedangkan aku hidup sebatang kara …” … Lantas air mata mereka mengalir … hati mereka terhiris … NAMUN … kepada siapa hendak mereka mengadu ? …. MELAINKAN ….. kepada ALLAH ………
Terlalu banyak janji yang ditaburkan kepada mereka yang berbuat baik kepada anak-anak yatim dan fakir miskin. Tidak kecil dan sedikit fadhilatnya. Malahan yang menabur janji itu adalah ALLAH. Pastinya janji ALLAH itu tetapkan termeteri.
Sempena Ramadhan yang bertamu … aku menyeru kepada diri ku dan anda semua . Ambillah kesempatan untuk menambah amal kebajikan sebagai bekalan kita untuk kembali ke hadrat ALLAH nanti. Ambillah kesempatan di bulan Ramadhan yang penuh berkat di mana amal perbuatan digandakan ganjaran pahalanya. Ayuhlah kita bersama-sama mengukirkan senyuman di wajah mereka walau pun hanya seketika, mudah-mudahan ALLAH akan mengukir senyuman di wajah kita di akhirat sana. Dan pastinya senyuman yang terukir di akhirat akan berkekalan.
Madrasah Darus Syifa
3 Ramadhan 1433 / 23 Julai 2012
4.25am
tersentuh hati membaca tulisan izah..memberi kesedaran pada akk..
ReplyDelete